Sunday, June 17, 2012




Falsafah Pendidikan Kebangsaan

“ Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha yang berterusan ke arah memperkembang lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara.”

Misi KPM

Membangunkan sistem pendidikan yang berkualiti bertaraf dunia bagi memperkembangkan potensi individu sepenuhnya dan memenuhi aspirasi negara Malaysia.

Matlamat

  1. Melahirkan bangsa Malaysia yang taat setia dan bersatu padu.
  2. Melahirkan insan yang beriman, berakhlak mulia, berilmu, berketerampilan dan sejahtera.
  3. Menyediakan sumber tenaga manusia untuk keperluan kemajuan negara.
  4. Memberi peluang pendidikan kepada semua warganegara Malaysia.


Prinsip Etika Kerja

Niat yang betul.
Perlakuan yang baik.
Penggerak ke arah kebaikan.
Memperkotakan apa-apa yang dikatakan.
Berdisiplin dan beradab.

Nilai-Nilai Utama dalam Etika Kerja 

Amanah
Benar
Bijaksana
Bersyukur
Dedikasi
Ikhlas
Penyayang

Piagam Pelanggan

  1. Kami warga Kementerian Pelajaran dengan penuh tekad dan iltizam, berikrar dan berjanji akan menumpukan seluruh tenaga dan usaha kami untuk:

  1. menyediakan sistem pendidikan yang terbaik berasaskan budaya ilmu bagi memenuhi kehendak individu, masyarakat dan negara serta memenuhi matlamat perpaduan negara;

  1. menentukan keluaran sistem pendidikan mempunyai nilai-nilai teras yang ditetapkan dan ciri-ciri yang selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan;

  1. memberi peluang yang sama kepada setiap kanak-kanak tanpa mengira latar belakang, agama dan keturunan untuk mendapat pendidikan yang sebaik-baiknya;

  1. mewujudkan jentera dan sistem pengurusan pendidikan yang cekap, berkesan, canggih, dinamik dan berteraskan pembaharuan yang berterusan;

  1. menguruskan kerja dengan cekap, pantas dan bijaksana;

  1. menyediakan staf yang mencukupi serta berdedikasi, komited, terlatih, berdisiplin, bertanggungjawab dan produktif;

  1. menyediakan kemudahan-kemudahan pendidikan yang selesa, lengkap dan mencukupi berteraskan piawaian-piawaian tertentu selaras dengan amalan perkhidmatan penyayang;

  1. memastikan kementerian sentiasa peka dan responsif kepada kehendak-kehendak dan keperluan-keperluan pelanggan – murid, guru, masyarakat dan negara/kerajaan; dan

  1. meningkatkan kegemilangan dan martabat profesion keguruan untuk menarik individu yang terbaik menyertai perkhidmatan pendidikan.

 Pelan Induk Pembangunan Pendidikan
(2006-2010)

Teras 1 : Membina Negara Bangsa
Teras 2 : Membangunkan Modal Insan
Teras 3 : Memperkasakan Sekolah Kebangsaan
Teras 4 : Merapatkan Jurang Pendidikan
Teras 5 : Memartabatkan Profesion Keguruan
Teras 6 : Melonjakkan Kecemerlangan Institusi Pendidikan


Teras Perkhidmatan Awam

  1. Berazam meninggikan mutu perkhidmatan
  2. Bekerja dengan penuh tanggungjawab
  3. Berusaha mengikis sikap mementingkan diri
  4. Berkhidmat dengan penuh muhibah dan kemesraan
  5. Bekerja ke arah memajukan pemikiran rakyat dan pembangunan negara
  6. Bekerjasama dalam membanteras kelemahan dan musuh-musuh negara
  7. Berpegang teguh pada ajaran agama.
Tonggak Dua Belas

Pengaruh teladan
Kewajipan menjalankan tugas
Keutamaan kesabaran
Peningkatan bakat
Ketekunan membawa kejayaan
Kebijaksanaan berhemat
Menghargai masa
Kemuliaan kesederhanaan
Keseronokan bekerja
Ketinggian peribadi
Nikmat mencipta
Kekuatan sifat baik hati

Saturday, June 16, 2012

Memahami Dasar Pendidikan Kebangsaan



DASAR PENDIDIKAN KEBANGSAAN

Latarbelakang

Dalam tahun-tahun menuju kemerdekaan, telah timbul kesedaran di kalangan pemimpin dan rakyat Malaysia tentang betapa mustahaknya diadakan satu sistem pendidikan kebangsaan untuk mengganti sistem pendidikan penjajah bagi memenuhi kehendak negara. Atas kesedaran inilah lahir satu Dasar Pendidikan (Pelajaran) Kebangsaan melalui Penyata Razak 1956 dan dimaktubkan dalam Ordinan Pelajaran, 1957. Dasar pendidikan ini telah disemak semula dalam tahun 1960 yang menghasilkan Laporan Rahman Talib. Laporan Rahman Talib ini kemudian dimaktubkan dalam Akta Pelajaran, 1961.

Kemudian, sebuah Jawatankuasa Kabinet telah ditubuhkan dalam tahun 1974 untuk mengkaji semula Dasar Pendidikan dengan tujuan untuk memperbaiki pelaksanaannya supaya matlamat untuk melahirkan satu masyarakat yang bersatupadu dan berdisiplin serta memenuhi keperluan tenaga rakyat yang terlatih bagi pembangunan negara dapat dicapai. Laporan Jawatankuasa ini telah diterbitkan dalam tahun 1979.

Rasional

Sistem pendidikan di zaman penjajahan telah berkembang tanpa mengambil kira kepada keperluan pembangunan, pembentukan identiti kebangsaan dan perpaduan negara. Sistem Pendidikan berkenaan mengekalkan tumpuan taat setia rakyat pendatang dan keturunan mereka kepada negara asal mereka dan menekan suppress semangat pembangunan rakyat tempatan. Sistem ini mungkin secocok dengan Tanah Melayu yang terjajah tetapi apabila Tanah Melayu sudah merdeka, ia didapati tidak lagi sesuai. Oleh itu, langkah-langkah diambil bagi menggubal satu sistem pendidikan kebangsaan yang sesuai untuk negara yang merdeka dan mempunyai matlamat-matlamat sendiri.

Objektif

Objektif dasar ini dinyatakan dalam Pendahuluan kepada Akta Pelajaran, 1961, iaitu:
"BAHAWASANYA dasar pelajaran seperti yang diisytiharkan dalam Ordinan Pelajaran, 1957 ialah untuk menubuhkan satu sistem pendidikan yang akan dapat memenuhi keperluan negara dan menggalakkan perkembangan kebudayaan, sosial, ekonomi, dan politiknya..." Objektif ini dinyatakan secara am tetapi dalam melaksanakannya, Kementerian Pendidikan dengan berpandukan kepada Penyata Razak 1956 dan Laporan Rahman Talib 1960, telah mentafsirkannya sebagai menyatupadukan kanak-kanak sekolah berbilang kaum dan menyediakan tenaga kerja ("tenaga rakyat," istilah yang digunakan oleh Laporan Jawatankuasa Kabinet) bagi keperluan ekonomi.

Seterusnya, objektif-objektif ini diperkhususkan lagi apabila Jawatankuasa Kabinet ditubuhkan dan bidang tugasnya ditetapkan. Ini mencerminkan hasrat bahawa Dasar Pendidikan diharapkan dapat memenuhi keperluan tenaga rakyat negara ini dalam jangka panjang dan pendek dan melahirkan masyarakat yang bersatupadu, berdisplin dan terlatih.

Falsafah Pendidikan Negara yang diasaskan kepada hasrat serta aspirasi negara dan dinyatakan secara bertulis baru-baru ini memberi penekanan kepada usaha melahirkan insan yang berilmu dan berakhlak, seimbang dan harmonis, yang boleh mencapai kesejahteraan diri dan memberi sumbangan kepada keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara. Ini menjadi satu matlamat penting sistem pendidikan kebangsaan.

Strategi Pelaksanaan

Beberapa strategi telah digubal untuk mencapai matlamat Dasar Pendidikan yang telah ditetapkan seperti berikut:

(a)  Menjadikan Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa pengantar yang
utama;
(b)  Mengadakan kurikulum yang sama dan berorientasikan Malaysia
bagi semua jenis sekolah;
(c)  Mewujudkan sistem peperiksaan yang sama bagi semua;
(d)  Melicinkan tatacara pengurusan pendidikan;
(e)  Meningkatkan mutu pendidikan keseluruhannya dengan menyediakan  pendidikan yang menyeluruh, seimbang dan bersepadu;
(f)    Mengadakan peluang pendidikan asas selama sembilan tahun;
(g)   Mendemokrasikan pendidikan dari segi peluang dan mutu dengan
mengagihkan peruntukan secara adil dan memberi perhatian khas kepada  kumpulan yang kurang bernasib baik dan kawasan luar bandar atau pendalaman;
(h)   Menyediakan pendidikan rendah mengikut Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) yang berasaskan 3M iaitu membaca, menulis dan mengira pada  tahun 1983 yang menjurus kepada kurikulum bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) pada tahun 1989. Matlamat utama kurikulum baru ini adalah untuk melahirkan individu yang seimbang dari segi ilmu pengetahuan dan kemahiran yang sesuai dan mempunyai moral serta nilai etika yang kukuh;
(i) Memperluaskan pendidikan Vokasional dan Teknik melalui penyusunan semula kurikulum Sekolah Vokasional pada tahun 1978;

(j)   Mempelbagai dan memperbanyakkan kemudahan pendidikan di peringkat universiti terutama dalam bidang sastera gunaan dan sains gunaan;

(k)   Mempertingkatkan pendidikan kerohanian, moral dan disiplin;

(l)   Menjadikan Bahasa Kebangsaan dan Bahasa Inggeris sebagai mata pelajaran yang wajib diajar di sekolah-sekolah dan memberi peluang yang sempuma bagi pembelajaran bahasa-bahasa lain seperti Bahasa Cina dan Bahasa Tamil; dan

(m) Menggalakkan aktiviti ko-kurikulum yang memupuk disiplin, seperti pasukan-pasukan kadet tentera, kadet polis, pengakap, puteri Islam dan lain-lain.

Di samping strategi ini, Dasar Pendidikan Kebangsaan juga dilaksanakan dengan mengada dan memperkembangkan tenaga pengajar yang terlatih dan juga mendirikan sekolah-sekolah selaras dengan pertambahan kanak-kanak. Di Kementerian/Jabatan Pendidikan pula, beberapa Bahagian dan Jawatankuasa yang meliputi perkara-perkara yang dibangkitkan oleh Dasar Pendidikan Kebangsaan telah ditubuhkan atau diperkuatkan bagi memastikan tercapainya hasrat Dasar Pendidikan ini. Diantaranya termasuklah penubuhan Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Pendidikan, Bahagian Pelajaran Teknik dan Vokasional, Jawatankuasa Pusat Kurikulum, Biro Buku Teks, Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia, Jawatankuasa Perancangan Pendidikan, Bahagian Perkhidmatan, Sebaran Pendidikan dan Pusat Perkembangan Kurikulum.



Penutup

Dasar Pendidikan Kebangsaan sememangnya dapat menampung keperluan-keperluan negara buat masa ini dan masa depan. Selaras dengan hasrat negara untuk mencapai tahap negara perindustrian adalah penting rakyatnya diberikan pendidikan secucuk dengan keperluan-keperluan swasta bagi bidang-bidang tertentu seperti pengeluaran, pelancongan, perkhidmatan, dan sebagainya. Oleh itu dasar ini bukan sahaja dapat memenuhi keperluan tenaga manusia dari segi jumlah tetapi juga dari segi kualiti. Dasar ini seharusnya dapat menggalakkan lebih ramai rakyat yang terlibat secara aktif dalam bidang keusahawanan dan tidak bergantung semata-mata kepada kerajaan untuk mencari kerja. Ini adalah selaras dengan dasar kerajaan semasa yang menekankan penyertaan swasta secara aktif.