DASAR PENDIDIKAN
KEBANGSAAN
Latarbelakang
Dalam tahun-tahun
menuju kemerdekaan, telah timbul kesedaran di kalangan pemimpin dan rakyat
Malaysia tentang betapa mustahaknya diadakan satu sistem pendidikan kebangsaan
untuk mengganti sistem pendidikan penjajah bagi memenuhi kehendak negara. Atas
kesedaran inilah lahir satu Dasar Pendidikan (Pelajaran) Kebangsaan melalui
Penyata Razak 1956 dan dimaktubkan dalam Ordinan Pelajaran, 1957. Dasar
pendidikan ini telah disemak semula dalam tahun 1960 yang menghasilkan Laporan
Rahman Talib. Laporan Rahman Talib ini kemudian dimaktubkan dalam Akta
Pelajaran, 1961.
Kemudian, sebuah
Jawatankuasa Kabinet telah ditubuhkan dalam tahun 1974 untuk mengkaji semula
Dasar Pendidikan dengan tujuan untuk memperbaiki pelaksanaannya supaya matlamat
untuk melahirkan satu masyarakat yang bersatupadu dan berdisiplin serta
memenuhi keperluan tenaga rakyat yang terlatih bagi pembangunan negara dapat
dicapai. Laporan Jawatankuasa ini telah diterbitkan dalam tahun 1979.
Rasional
Sistem pendidikan di
zaman penjajahan telah berkembang tanpa mengambil kira kepada keperluan
pembangunan, pembentukan identiti kebangsaan dan perpaduan negara. Sistem
Pendidikan berkenaan mengekalkan tumpuan taat setia rakyat pendatang dan
keturunan mereka kepada negara asal mereka dan menekan suppress semangat
pembangunan rakyat tempatan. Sistem ini mungkin secocok dengan Tanah Melayu
yang terjajah tetapi apabila Tanah Melayu sudah merdeka, ia didapati tidak lagi
sesuai. Oleh itu, langkah-langkah diambil bagi menggubal satu sistem pendidikan
kebangsaan yang sesuai untuk negara yang merdeka dan mempunyai
matlamat-matlamat sendiri.
Objektif
Objektif dasar ini
dinyatakan dalam Pendahuluan kepada Akta Pelajaran, 1961, iaitu:
"BAHAWASANYA
dasar pelajaran seperti yang diisytiharkan dalam Ordinan Pelajaran, 1957 ialah
untuk menubuhkan satu sistem pendidikan yang akan dapat memenuhi keperluan
negara dan menggalakkan perkembangan kebudayaan, sosial, ekonomi, dan
politiknya..." Objektif ini dinyatakan secara am tetapi dalam
melaksanakannya, Kementerian Pendidikan dengan berpandukan kepada Penyata Razak
1956 dan Laporan Rahman Talib 1960, telah mentafsirkannya sebagai
menyatupadukan kanak-kanak sekolah berbilang kaum dan menyediakan tenaga kerja
("tenaga rakyat," istilah yang digunakan oleh Laporan Jawatankuasa
Kabinet) bagi keperluan ekonomi.
Seterusnya,
objektif-objektif ini diperkhususkan lagi apabila Jawatankuasa Kabinet
ditubuhkan dan bidang tugasnya ditetapkan. Ini mencerminkan hasrat bahawa Dasar
Pendidikan diharapkan dapat memenuhi keperluan tenaga rakyat negara ini dalam
jangka panjang dan pendek dan melahirkan masyarakat yang bersatupadu,
berdisplin dan terlatih.
Falsafah Pendidikan
Negara yang diasaskan kepada hasrat serta aspirasi negara dan dinyatakan secara
bertulis baru-baru ini memberi penekanan kepada usaha melahirkan insan yang
berilmu dan berakhlak, seimbang dan harmonis, yang boleh mencapai kesejahteraan
diri dan memberi sumbangan kepada keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan
negara. Ini menjadi satu matlamat penting sistem pendidikan kebangsaan.
Strategi Pelaksanaan
Beberapa strategi
telah digubal untuk mencapai matlamat Dasar Pendidikan yang telah ditetapkan
seperti berikut:
(a) Menjadikan Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa
pengantar yang
utama;
(b) Mengadakan kurikulum yang sama dan berorientasikan
Malaysia
bagi
semua jenis sekolah;
(c) Mewujudkan sistem peperiksaan yang sama bagi
semua;
(d) Melicinkan tatacara pengurusan pendidikan;
(e) Meningkatkan mutu pendidikan keseluruhannya
dengan menyediakan pendidikan yang
menyeluruh, seimbang dan bersepadu;
(f) Mengadakan peluang pendidikan asas selama
sembilan tahun;
(g) Mendemokrasikan pendidikan dari segi peluang
dan mutu dengan
mengagihkan
peruntukan secara adil dan memberi perhatian khas kepada kumpulan yang kurang bernasib baik dan
kawasan luar bandar atau pendalaman;
(h) Menyediakan pendidikan rendah mengikut
Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) yang berasaskan 3M iaitu membaca, menulis
dan mengira pada tahun 1983 yang
menjurus kepada kurikulum bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) pada tahun 1989.
Matlamat utama kurikulum baru ini adalah untuk melahirkan individu yang
seimbang dari segi ilmu pengetahuan dan kemahiran yang sesuai dan mempunyai
moral serta nilai etika yang kukuh;
(i) Memperluaskan pendidikan
Vokasional dan Teknik melalui penyusunan semula kurikulum Sekolah Vokasional
pada tahun 1978;
(j) Mempelbagai dan memperbanyakkan kemudahan
pendidikan di peringkat universiti terutama dalam bidang sastera gunaan dan
sains gunaan;
(k) Mempertingkatkan pendidikan kerohanian,
moral dan disiplin;
(l) Menjadikan Bahasa Kebangsaan dan Bahasa
Inggeris sebagai mata pelajaran yang wajib diajar di sekolah-sekolah dan memberi
peluang yang sempuma bagi pembelajaran bahasa-bahasa lain seperti Bahasa Cina
dan Bahasa Tamil; dan
(m)
Menggalakkan aktiviti ko-kurikulum yang memupuk disiplin, seperti
pasukan-pasukan kadet tentera, kadet polis, pengakap, puteri Islam dan lain-lain.
Di samping strategi
ini, Dasar Pendidikan Kebangsaan juga dilaksanakan dengan mengada dan
memperkembangkan tenaga pengajar yang terlatih dan juga mendirikan
sekolah-sekolah selaras dengan pertambahan kanak-kanak. Di Kementerian/Jabatan
Pendidikan pula, beberapa Bahagian dan Jawatankuasa yang meliputi
perkara-perkara yang dibangkitkan oleh Dasar Pendidikan Kebangsaan telah
ditubuhkan atau diperkuatkan bagi memastikan tercapainya hasrat Dasar
Pendidikan ini. Diantaranya termasuklah penubuhan Bahagian Perancangan dan
Penyelidikan Pendidikan, Bahagian Pelajaran Teknik dan Vokasional, Jawatankuasa
Pusat Kurikulum, Biro Buku Teks, Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia,
Jawatankuasa Perancangan Pendidikan, Bahagian Perkhidmatan, Sebaran Pendidikan
dan Pusat Perkembangan Kurikulum.
Penutup
Dasar Pendidikan
Kebangsaan sememangnya dapat menampung keperluan-keperluan negara buat masa ini
dan masa depan. Selaras dengan hasrat negara untuk mencapai tahap negara
perindustrian adalah penting rakyatnya diberikan pendidikan secucuk dengan
keperluan-keperluan swasta bagi bidang-bidang tertentu seperti pengeluaran,
pelancongan, perkhidmatan, dan sebagainya. Oleh itu dasar ini bukan sahaja
dapat memenuhi keperluan tenaga manusia dari segi jumlah tetapi juga dari segi
kualiti. Dasar ini seharusnya dapat menggalakkan lebih ramai rakyat yang
terlibat secara aktif dalam bidang keusahawanan dan tidak bergantung
semata-mata kepada kerajaan untuk mencari kerja. Ini adalah selaras dengan
dasar kerajaan semasa yang menekankan penyertaan swasta secara aktif.

No comments:
Post a Comment